16 Mei 2006
17 Rabiul Akhir 1427
Utusan Malaysia
 
 
Search Archives
Feedback
Corporate Info


 
 Muka Hadapan

Jangan malu ada anak Sindrom Down

Oleh: ROSALWANI CHE SOH

PETALING JAYA 15 Mei - Ibu bapa yang mempunyai anak-anak Sindrom Down tidak perlu merasa malu kerana terdapat pelbagai kemudahan untuk membantu golongan itu pada masa ini.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali berkata, ibu bapa sepatutnya menerima anak terbabit dengan hati yang terbuka.

``Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini, jangan mudah putus asa kerana kita mempunyai kemudahan untuk kanak-kanak ini''

``Di pusat Kiwanis Sindrom Down misalnya, usaha untuk mendidik anak-anak ini telah dijalankan sejak 16 tahun yang lalu dan kini Kiwanis sudah mampu berdiri gah dengan bangunan mereka sendiri di Petaling Jaya ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis perasmian Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down di sini hari ini.

Turut hadir, penaung yayasan itu, Toh Puan Ena Ling dan Naib Setiausahanya, Lee Kuan Yong.

Tambah Siti Hasmah, sebagai ibu bapa yang prihatin, mereka perlu berusaha untuk membantu anak-anak istimewa itu supaya dapat membesar seperti kanak-kanak lain juga.

``Kanak-kanak Sindrom Down ini adalah anak-anak yang sentiasa gembira dan tidak kenal erti duka, oleh itu sebagai ibu bapa yang prihatin, peranan mereka sangat penting.

``Luangkanlah masa dan bawalah mereka ke pusat Sindrom Down Kiwanis untuk menjalani latihan di sini.

``Namun dalam masa yang sama, mereka juga perlu mengawasi perkembangan anak-anak ini supaya mereka dapat membesar dalam keadaan yang baik,'' kata beliau.

Pusat Kebangsaan Kiwanis Down Sindrom telah dibuka dengan rasminya pada 11 Julai, 1990 di Jalan Gasing, Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk membantu kanak-kanak istimewa itu di seluruh Malaysia dalam bidang pendidikan dari baru lahir hingga kanak-kanak tersebut mencecah ke usia enam tahun.

Kini pusat tersebut mempunyai enam buah cawangan di seluruh Malaysia yang merangkumi kawasan Petaling Jaya, Johor, Klang, Seremban, Melaka, Kota Kinabalu dan yang terbaru di Ipoh yang akan di bina akhir tahun ini.


 




Tajuk-tajuk Berita
  • Pendidikan jalan raya -- Elemen baru subjek Bahasa Melayu di sekolah rendah tahun depan
  • Belia diminta rebut peluang
  • TNB jimat ratusan juta ringgit pengurangan rizab elektrik
  • PM lancar Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010
  • Bakal guru pilihlah kursus tepat
  • Guru bawa anak ke kelas tambahan
  • Kerajaan beli 30 pesawat Pilatus PC-7 MKII
  • NAM-CoB dijangka keluar kenyataan isu nuklear Iran
  • Jangan malu ada anak Sindrom Down
  • Tindakan bodoh - Nazri


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my
    | Terms of Use |