Mereka wajar diberi peluang jalani hidup seperti individu normal
supaya dapat sesuaikan diri dengan persekitaran luar
KUALA
LUMPUR: Tanggapan orang ramai bahawa kanak-kanak Sindrom Down adalah beban
kepada masyarakat kerana kelemahan mereka dalam berfikir (kognitif) serta
mengawal pergerakan atau memproses maklumat adalah tidak berasas.
Malahan, corak pemikiran seperti itu seharusnya tidak lagi menjadi
pegangan masyarakat hari ini kerana kanak-kanak terbabit mampu dipulihkan
ke peringkat paling maksimum sehingga menjadi sebahagian daripada anggota
masyarakat normal.
Di Malaysia, satu kes Sindrom Down dicatatkan bagi setiap 1,000
kelahiran dan pada masa ini kira-kira 50,000 kes Sindrom Down dicatatkan
dan tanggal 21 Mac diiktiraf seluruh dunia sebagai Hari Sindrom Down
Sedunia dengan objektif utama adalah untuk memperingati serta mewujudkan
tahap kesedaran yang tinggi dalam memahami pesakit Sindrom Down.
Tarikh berkenaan dipilih kerana ia melambangkan keistimewaan 21
kromosom yang terdapat di dalam tubuh pesakit Sindrom Down.
Dalam
usaha meraikan kanak-kanak istimewa ini, Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom
Down Kiwanis (KDSF) baru-baru ini mengadakan majlis sambutan di Hospital
Pakar Damansara di sini.
Pengerusi KDSF, Fred Tan, berkata yayasan itu ditubuhkan untuk membantu
kanak-kanak Sindrom Down merealisasikan potensi mereka di samping
mempertingkatkan proses pembelajaran.
“Kanak-kanak Sindrom Down
tidak sepatutnya dilayan seperti anak istimewa, sebaliknya mereka harus
diberi layanan yang seperti adik-beradik lain supaya dapat menyesuaikan
diri dengan dunia luar.
“Pusat pemulihan seperti KDSF melatih ibu
bapa dan kanak-kanak sebagai anggota masyarakat kerana mereka memerlukan
peluang untuk berdikari,” katanya.
KDSF memerlukan sebanyak
RM600,000 setahun bagi membiayai perbelanjaan pengurusan, oleh itu,
bantuan serta sumbangan daripada orang ramai amat diharapkan untuk
meneruskan usaha membantu kanak-kanak istimewa ini.
Kesedaran ibu bapa dan keluarga terhadap pemulihan kanak-kanak istimewa
harus diberi keutamaan kerana diakui bukan mudah untuk menjaga anak
Sindrom Down, saban hari ibu bapa terpaksa menepis persepsi masyarakat
yang menganggap mereka ini tidak berguna kepada masyarakat.
Menceritakan cabaran bergelar ibu kepada anak Sindrom Down, Nur
Liza Aminuddin, 40, berkata beliau reda dengan cabaran dan dugaan yang
diterima dan menganggapnya sebagai ujian.
“Sebagai ibu bapa kita
harus berfikiran terbuka dalam membesarkan anak yang menghidap Sindrom
Down, walaupun pandangan masyarakat sudah berubah namun masih ada
segelintir pihak yang masih berada di takuk lama,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada seorang anak yang menghidap Sindrom
Down, Stella Chan, 50, berkata pada mulanya rakan sekerja menjauhkan diri
setelah mengetahui penyakit anaknya,
Namun katanya, semua itu
tidak diendahkan kerana apa yang penting dirinya boleh menjadi ibu terbaik
kepada anaknya, Charmaine Chan, 18 tahun.
“Pada awal persekolahan
beliau sering dibuli, dicubit serta disisihkan oleh rakan sekelas, malahan
ada guru yang tidak mengendahkan beliau, hanya selepas diadakan
perbincangan barulah mereka dapat menerima kehadiran Charmaine.”
Beliau berkata, anaknya tidak pernah menganggap dirinya cacat,
malahan akan menduduki peperiksaan SPM dan ini membuktikan bahawa
kanak-kanak yang menghidap Sindrom Down boleh berjaya seperti orang lain.